Friday, July 20, 2012

0

Kerepek Ubi

Posted in


   Kebiasaannya setiap kali cuti sekolah hujung minggu, saya dan adik-adik selalunya akan membantu ibu membuat kerepek ubi. Masing-masing ada bahagian kerja yang akan dilakukan, daripada mengupas ubi kayu, mencuci, menghiris, menggoreng sehinggalah membungkus.

   Masih saya ingat, pada awal kami menghiris ubi adalah dengan hanya menggunakan pisau biasa tetapi kemudiannya kami mengunakan alat penghiris ubi.Tugas menghiris biasanya dibuat secara bergilir-gilir. Selepas menghiris kami mula menggoreng. Proses menggoreng biasanya dilakukan oleh abang saya, namun adik-adik yang lain akan membantu untuk menjaga api. Ini kerana kami menggoreng menggunakan dapur kayu bersama kuali besar.

   Setelah penat di siang hari menggoreng kerepek ubi, pada malam hari tibalah masa untuk membungkus kerepek ubi. Kerepek ubi yang biasa di buat adalah kerepek ubi sambal. Pembungkusan kerepek akan dilakukan oleh ibu. Ibu akan membungkus kerepek ubi tadi dalam peket-peket kecil yang di jual dengan harga RM0.20 sepeket. Kami turut serta membantu ibu 'seal' dengan membakar hujung bungkusan plastik menggunakan pelita minyak tanah. Dalam hal ini, 'seal' ibu dan abang biasanya lebih sempurna. Yang lain biasanya akan menggerutu, tidak cantik.

   Kerepek ubi tadi kemudiannya akan ibu bekalkan untuk kami adik-beradik untuk dijual di sekolah. Sama ada di sekolah kebangsaan atau sekolah agama. Namun, untuk berniaga di sekolah bukanlah satu perkara mudah juga untuk kami yang seusia darjah 3 hingga darjah 6. Banyak yang kami kena lalui. Adakalanya, tiada siapa hendak beli. Jika ibu membekalkan 10 peket maka 10 peketlah terpaksa di bawa pulang semula. Beg yang kembung dengan buku bertambah kembung dengan kerepek-kerepek ubi. Kadang-kadang terpaksa menggalas beg tambahan disisi.


kerepek ubi


   Berniaga secara curi-curi. Itulah sebenarnya yang kami adik-beradik lakukan. Di sekolah tiada istilah berniaga. Terutamanya sekolah kebangsaan, undang-undangnya sangat ketat. Pernah terjadi kerepek yang dibekalkan kepada adik saya dirampas. Jadi, hari itu adik saya pulang dengan tangan kosong. Menceritakan apa yang berlaku kepada ibu, sedihnya hati melihat wajah sayu ibu. Bertambah pilu apabila ibu berkata 'kalau tak dapat jual kerepek, tiadalah pendapatan. Tiadakah sedikit rasa belas kasihan cikgu kamu itu?'

   Akhirnya, kami terpaksa akur yang tidak dapat berniaga di sekolah kebangsaan. Kami lebih tertumpu kepada sekolah agama. Alhamdulillah, Tuhan murahkan rezeki kami. Di sekolah agama, lebih ramai yang membeli, bukan sahaja murid-murid tetapi ustaz dan ustazah juga. Dalam hal ini pula, adik saya yang keempat lebih pakar membina rangkaian-rangkaiannya. Biasanya kalau adik-adik lain hanya boleh membawa 5-10 peket sehari yang kadang-kadang hanya 3-5 peket sahaja habis, tetapi untuk adik saya ini akan dibekalkan 10-20 peket yang habis dijual kesemuanya.

   Wang yang diperolehi hasil daripada berniaga akan diserahkan sepenuhnya kepada ibu. Ibu akan menyimpan wang tersebut dalam sebuah tabung. Setelah penuh, ibu akan menyimpannya di dalam akaun bank. Melalui wang itulah, ibu membesarkan kami, membayar yuran sekolah dan melengkapkan barang keperluan kami. Setiap kali jualan habis, tercarik segaris senyuman di wajah ibu dan ibu pasti ibu akan menadah tangan penuh kesyukuran apabila kami pulang menyerahkan hasil jualan.

   Kerepek ubi menjadi kenangan kami adik-beradik. Kadang-kadang jari kami adik-beradik selalu terluka terkena penghiris ketika menghiris ubi kayu. Adakalanya, minyak panas terpercik di muka dan tangan semasa menggoreng kerepek ubi. Manakala, mata pula selalu pedih terkena asap dapur kayu. Kami juga terpaksa menghadapi beberapa kesukaran ketika berniaga kerepek ubi yang mana ada yang mencuri kerepek ubi atau duit hasil jualan kami. Ada yang iri hati pula, selalu mengadu kepada cikgu. Kadang-kadang ada yang berhutang. Kebanyakkan antara mereka ada membantu dan menyokong. Namun, tak kurang juga yang memandang rendah dan hina. 

   Tetapi itulah nilainya. Kesemua yang kami lalui itu menjadikan kami mengenal erti kepayahan, kekuatan dan kesabaran dalam konteks kehidupan sebenar. Melalui pengalaman itu juga banyak nilai yang diperolehi antaranya nilai persahabatan, nilai kasih sayang, nilai kerjasama dan nilai kemanusiaan yang tidak didapati dengan wang ringgit.



life journey
P/S: Sehingga ke hari ini setiap kali terlihatkan kerepek ubi, pasti akan terkenangkan masa dahulu. Alhamdulillah, berkat daripada menjual kerepek ubi itu, dapat membesarkan kami adik-beradik hingga ke menara gading. Semoga kami adik-beradik menjadi insan yang berguna dan dapat membantu mereka yang memerlukan. 



Facebook Blogger Plugin: Bloggerized by AllBlogTools.com Enhanced by MyBloggerTricks.com

0 comments:

Followers